Tuesday, 9 August 2011
Kritikan Membina Vs Kutukan
Kritikan membina
sama sekali berbeza dengan kutukan. Sebab kritikan membina itu kata-katanya disulam peringatan, nasihat berguna untuk penambahbaikan di masa akan datang. Saya percaya, jika benar cara nasihatnya, pasti akan ada yang tertawan dan menerimanya dengan hati terbuka.
Faedahnya cukup besar, di samping beroleh pahala, kita juga mampu memperteguhkan kembali renggangan tali silaturahim. Malah dapat membina ummah yang berilmu dan berakhlaq mulia.
Tidak sukar, hanya bermodalkan ayat-ayat cinta berhikmah saja.
Pesan Rasulullah SAW lagi:
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah ia berkata baik atau diam.” (Mutafaq ‘alaih)
Berpandukan pada hadis di atas, Baginda SAW memberikan kita 2 solusi berguna untuk kita.
Pertamanya: Berkata baik. Sesiapa yang suka berkata tentang kebaikan, menyeru tentang kebenaran. Ayuh, teruskan usaha murni kalian. Mungkin di sebalik kata-kata baik itu, kita beroleh pahala yang tak dijangkakan.
Keduanya: Diam, Diam lebih baik bagimu.
Kutukan
kutukan ini sebenarnya lebih bersifat kepada menjahanamkan perasaan orang lain. Dalam erti kata lain, si pengutuk menggunakan senjata kutukan ini demi untuk memuaskan nafsu dan keegoaan sendiri. Bahkan dia akan berbangga sekiranya kutukannya itu menyebabkan hati musuhnya terguris dan terasa.
Itulah sebenarnya kepuasan si pengutuk. Kalau mahu fikirkan faedah, tiada langsung faedah yang diperolehi. Malah beroleh dosa percuma pula. Maka akan wujud perpecahan ketara hingga berlarutan kepada isu-isu lain. Ia tak akan terhenti, sebab dendam kesumat sentiasa menjadi keutamaan.
Saat itu, syaitan lekas memainkan peranannya untuk terus mencucuk hati pengutuk supaya jangan ada sehari tanpa mengutuk orang. Kalau boleh kutuk mengutuk ini menjadi hobi sebati hingga akhir hayat.
Melalui ‘Aisyah r.a, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda kepada para sahabat: “Apakah kalian mengetahui riba yang paling besar di sisi Allah?
Mereka berkata: “Allah dan RasulNya lebih mengetahui.”
Rasulullah melanjutkan sabdanya: “Sesungguhnya riba yang paling besar di sisi Allah adalah menghalalkan kehormatan seorang muslim untuk dicemari. Kemudian Rasulullah membaca firman Allah SWT: ‘Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.’ (al-Ahzab: 58)” (Hadis riwayat Abu Ya’la, al-Mundziri dan al-Haitsami berkata periwayatan hadis ini sohih)
Dan juga hadis yang berbunyi:
Dari Aisyah ra, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak menyukai kata-kata kotor dan perbuatan keji…” (Mutafaq alaih)
Sebagai kesimpulannya, jika anda menggunakan kritikan yang membina maka orang mudah untuk menerimanya, bukanlah dengan menggunakan kutukan, tidak kiralah kita telah memperolehi tahap pendidikan yang tinggi seperti diploma/degree/master phd atau apapun kita perlulah menghormati setiap insan supaya diri kita juga dihormati oleh insan yang lain, tidak perlu berbangga dengan apa yang kita ada(pengetahuan yang lebih tinggi dari insan tersebut) kerana semua itu pinjaman oleh Allah semata. Renunglah sejenak diri kita, tidak semua orang yang sempurna..
Lakaran Hati
`Aliah
Labels:
Penghayatan